Sunday, August 16, 2009

Isu Tulisan Jawi pada Papan Tanda


Dalam kitab Seribu Masalah, perkataan jawi merujuk kepada Melayu. Jawi juga merujuk kepada Tanah Jawi, turun ke jawi, kitab jawi, ulama jawi, orang jawi, masuk jawi, padi jawi (padi biasa, bukan pulut), dan tulisan jawi. Skrip jawi berasal daripada skrip Arab yang sampai ke Kepulauan Melayu bersama kedatangan Islam. Wilkinson pula mensinonimkan jawi dengan Melayu. Inskripsi Arab/Jawi tertua terdapat pada batu nisan Sultan Malik al-Saleh di Pasai, Sumatera bertarikh 1297 M. Inskripsi Arab/Jawi berbahasa Melayu tertua ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M. Dua jenis skrip Kawi/Melayu dan Arab/Jawi pada batu nisan Sheikh Ahmad Majnun, bertarikh 1467/68 M menunjukkan hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan Majapahit. ‘Jawi’ ialah nama yang diberikan kepada Kepulauan Melayu (Tanah Jawi), seluruh bangsa di Kepulauan Melayu (bangsa jawi), bahasa yang digunakan oleh mereka (bahasa jawi), tulisan yang digunakan oleh mereka (tulisan jawi).

Tulisan jawi pada papan tanda jalan yang menjadi isu hangat dalam satu laman blog baru-baru ini.
Baru-baru ini satu laman blog persendirian yang mendakwa mewakili masyarakat minoriti di Membakut, membangkitkan kemarahan banyak pihak kerana menyentuh isu yang sensitif, iaitu berkenaan dengan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan. Artikel yang diterbitkan pada 22 Mei 2009 lalu, bertajuk ‘Tulisan Jawi Menidakkan Hak Masyarakat Kadazan Dusun Membakut’ dilihat sebagai tulisan yang tidak bertanggungjawab, tidak matang, tidak menghormati sensitiviti kaum lain, malah boleh menerbitkan prasangka buruk dan kebencian antara kaum. Artikel itu ditulis dengan tidak berpandukan kajian dan fakta sebenar tetapi ditulis hanya sebagai melepaskan gelodak emosi negatif sesetengah pihak. Tulisan itu juga menganggap penggunaan tulisan jawi sebagai satu pembaziran dan mempersoalkan kewajaran pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang beberapa papan tanda yang mempunyai tulisan jawi. Sebelum menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh penulis blog itu, adalah lebih baik kita fikirkan bersama beberapa fakta dan petikan berita yang diperoleh daripada akhbar tempatan dan laman web seperti berikut:
Mengikut catatan sejarah, tulisan jawi wujud di Nusantara sejak abad ke-14 atau lebih awal lagi. Pembangunannya dikaitkan dengan penyebaran Islam dari Tanah Arab. Di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan jawi sedikit demi sedikit hilang pengaruh berikutan perkembangan tulisan rumi, isu memartabatkan tulisan jawi mula diperkatakan. Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan jawi dilatari kewajipan mempelajari ilmu agama, yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun, keistimewaan tulisan jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Justeru, sebarang usaha dalam mengetengahkan penggunaan tulisan jawi tentunya berbaloi.
Baru-baru ini, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan jawi yang dinamakan My Jawi Games. Dicipta oleh pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi mobile learning20th International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lalu, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-20.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut memainkan peranan penting untuk memartabatkan penggunaan tulisan jawi dalam kalangan pelajar di negara ini. Oleh itu, bagi melaksanakannya beberapa langkah telah diambil, antaranya menggunakan tulisan jawi dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam, Buku Teks Pendidikan Islam ditulis dalam tulisan jawi dan memasukkan kemahiran jawi sebagai satu elemen asas dalam program j-QAF.
KOTA KINABALU, 25 Februari 2006 -- Semua pihak diminta mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu dan tulisan jawi serta memastikannya agar ia tidak dipinggirkan di negara ini. Demikian kenyataan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPS), Zubaidi Abbas ketika merasmikan penutupan Bengkel Penulisan Jawi anjuran bersama DBPS dan Jabatan Pengajian Melayu, Maktab Perguruan Gaya di sini baru-baru ini. Menurutnya, penggunaan tulisan jawi masih sesuai dengan perkembangan zaman dan ia bukan semata-mata unik, tetapi menarik dan perlu dipelajari oleh masyarakat di negara ini.
"Tulisan ini juga bukan semata-mata digunakan untuk urusan yang berkaitan dengan agama Islam, sebaliknya ia juga tulisan ilmu yang pernah digunakan oleh semua bangsa besar yang pernah menjajah negara ini,” katanya.
KOTA KINABALU, 21 Okt 2008 (Bernama) -- Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan dan iklan mendapat sokongan menggalakkan di kebanyakan daerah di Sabah, kata Pengarah Dewan dan Bahasa (DBP) Sabah Zubaidi Abas."Pihak DBP mendapat kerjasama yang sangat baik daripada majlis daerah berkenaan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda. Mereka juga sentiasa berhubung dengan kami mengenai penggunaan bahasa dan ejaan yang betul."Kami amat mengalu-alukan dan memuji usaha daerah seperti Lahad Datu, Sipitang, Kinabatangan dan Beaufort dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita melalui penulisan jawi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) 2008 di sini, Selasa.Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda jalan dan iklan akan diperluaskan ke daerah lain.
Jelaslah bahawa, usaha memartabatkan kembali tulisan jawi dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, tulisan, papan tanda dan papan iklan sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu tanpa disedari oleh banyak pihak termasuk penulis blog tersebut. Usaha murni itu sebenarnya dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu serta tulisan jawi, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jika pembaca berkesempatan berkunjung ke bangunan DBP Cawangan Sabah di Teluk Likas, pembaca boleh melihat sendiri usaha serius yang dilakukan oleh DBP Cawangan Sabah menggunakan tulisan jawi pada setiap papan tanda atau papan kenyataan di bangunan itu. Penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan papan iklan oleh pihak berkuasa tempatan hampir di setiap daerah di negeri ini bukannya diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan itu sendiri tetapi mendapat sokongan semua pihak yang terbabit dalam usaha memartabatkan tulisan ini. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi sesetengah pihak mendakwa penggunaan tulisan jawi pada papan tanda di Membakut dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Majlis Daerah Beaufort atau JKR
.
Papan tanda jalan yang besar ini langsung tidak mempunyai tulisan jawi.
Tulisan jawi tidak seharusnya dilihat sebagai tulisan yang hanya digunakan oleh para pelajar di sekolah rendah agama atau sekolah menengah agama di negara ini. Usaha memartabatkan penggunaan tulisan jawi perlu dilihat sebagai agenda nasional untuk menjadikan tulisan itu kembali digunakan dan diminati oleh generasi masa kini dalam pelbagai bidang. Pada masa lalu, sebelum sistem tulisan jawi digantikan dengan sistem tulisan rumi di negara kita, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India juga belajar dan meminati penggunaan tulisan jawi. Mereka menganggap tulisan jawi sama taraf dengan tulisan Cina dan India. Pada masa kini, masih ada segelintir masyarakat bukan Melayu yang mengamalkan dan mengagumi tulisan jawi. Contohnya seperti petikan berita berikut:
Demi cintanya kepada tulisan jawi, seorang lelaki Cina akhirnya berjaya mencipta satu kaedah mudah mempelajari teknik menguasai tulisan dan membaca jawi dengan cepat dan berkesan. Bagi Lee Guan Hooi, 47, tiada apa yang lebih bermakna dalam hidupnya selepas 25 tahun mempelajari tulisan itu kerana beliau kini merupakan kaum Cina pertama yang mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi.
“Tulisan jawi sangat indah dan sebab itu saya mahu semua bangsa mempelajarinya kerana ia sangat unik,” katanya kepada Bernama.
Lee yang bertugas sebagai Pembantu Penerangan Kanan, Cawangan Perancangan dan Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan dan berasal daripada Kedah, telah mendaftarkan ciptaannya itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lepas. Kaedah yang diciptanya itu merangkumi 13 disiplin asas mengeja dan menulis dalam jawi, antaranya Berhenti Roda Bertitik, Tutup Kata Pecat Alif, Kata Melayu Kaf-Qaf, Kata Inggeris Kaf-Kaf dan Kata Melayu Ha, Kata Arab Ha. Menurutnya melalui kaedah itu sesiapa yang sebelum ini langsung tidak mampu membaca dan menulis jawi dijamin dapat menguasainya dalam tempoh dua hari sahaja.
Menurut Prof Hashim Musa, beberapa pendekatan baru telah disarankan oleh beliau bagi memartabatkan tulisan jawi . Pertama, golongan yang terlibat haruslah mengadakan satu publisiti besar-besaran bagi memartabatkan tulisan jawi . Menurut beliau lagi, keindahan dan seni khat harus dipertontonkan umum bagi memberi satu dimensi baru tentang tulisan jawi. Khazanah lama yang berkaitan dengan tulisan jawi juga harus dikaji dengan lebih mendalam lagi. Hal ini penting bagi memberi nilai dan nafas baru kepada tulisan jawi yang kian dilupakan. Keduanya, beliau juga menyarankan agar generasi hari ini dapat membudayakan tulisan jawi. Dengan adanya cara sedemikian, tulisan jawi dapat dipertahankan pada masa akan datang. Selain itu juga, beliau juga menegaskan bahawa ‘Minggu Jawi’ juga harus dilakukan bagi menghargai tulisan dan keindahan yang ada pada jawi itu sendiri.
Dalam konteks Daerah Membakut, dakwaan bahawa banyak papan tanda jalan yang menggunakan tulisan rumi digantikan dengan papan tanda bertulisan jawi adalah tidak benar dan dakwaan itu dibuat secara rambang tanpa membuat kajian yang tepat. Penulis mendapati hanya ada beberapa papan tanda yang menggunakan tulisan jawi berbanding keseluruhan papan tanda di daerah ini. Mungkin bilangan papan tanda tersebut tidak sampai pun 30 peratus. Papan-papan tanda itu juga hanya diletakkan di tempat yang strategik, iaitu di jalan masuk ke Pekan Membakut dan sebagai penunjuk jalan ke kampung majoriti kaum Brunei, iaitu Kampung Pimping dan Kampung Brunei. Saiz tulisan jawi pada papan-papan tanda itu juga agak kecil dan tidak mengganggu pandangan. Persoalannya, mengapakah penulis blog itu mendakwa tulisan jawi menidakkan hak masyarakat kaum lain?

Bilangan papan tanda yang mempunyai tulisan jawi hanya sedikit dan diletakkan di tempat-tempat tertentu.
Tulisan jawi hanyalah satu bentuk komunikasi dan kini menjadi warisan yang tinggi nilainya bagi masyarakat yang mengamalkannya. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini tulisan jawi digunakan sebagai satu bentuk undang-undang atau kuasa untuk menafikan hak masyarakat lain. Seharusnya kita bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman damai, bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Hak pelbagai kaum untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing dijamin dalam perlembagaan negara ini. Tidak seperti di negara lain yang kononnya menjunjung sistem demokrasi tetapi masyarakat minoritinya ditindas, dinafikan daripada hak kesamarataan malah diserang dan dibunuh dengan kejam. Seharusnya penulis blog dan pihak yang berasa kurang senang dengan menulis artikel tersebut merenung kembali betapa bertolak-ansurnya masyarakat majoriti di Membakut ini. Masyarakat bukan Islam tidak pernah dipaksa untuk membaca apatah lagi untuk mempelajari tulisan jawi. Masyarakat Islam di daerah ini juga tidak pernah membuat bising, campur tangan atau mempersoalkan hak kaum lain mendirikan papan-papan tanda besar yang menunjukkan perkembangan agama dan budaya kaum itu.
Penulis blog itu juga mencadangkan agar didirikan papan tanda muhibah yang mengandungi bahasa kaum lain selain bahasa Melayu. Cadangan tersebut tidak relevan dan boleh menyebabkan pihak berkuasa menanggung kos yang tinggi semata-mata untuk mendirikan papan tanda yang mempunyai banyak bahasa. Dalam perkara ini, kita sepatutnya menyokong usaha kerajaan untuk mendaulatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dalam semua aspek termasuklah penggunaannya pada papan tanda. Kita seharusnya mencontohi rakyat Jepun dan Korea yang amat berbangga dengan keupayaan bahasa kebangsaan mereka. Bahasa mereka mencapai taraf yang tinggi dalam pelbagai bidang sehinggakan bangsa lain terpaksa mempelajari bahasa mereka jika ke negara itu.
Hal ini juga tidak bermakna apabila bahasa kebangsaan diutamakan dan dimartabatkan, bahasa etnik lain akan terpinggir. Kita boleh menyaksikan sendiri di Membakut, masyarakat daripada pelbagai etnik sama ada Brunei, Dusun, Cina, Paitan dan lain-lain masih kekal dan berbangga menggunakan bahasa etnik masing-masing. Walau bagaimanapun, penulis mencadangkan, bagi papan tanda yang bersaiz lebih besar, pemimpin dan pihak berkuasa di Membakut boleh mengadakan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti DBP Cawangan Sabah. Sebagai contoh, di Parlimen Silam, DBP Cawangan Sabah memberikan sumbangan papan tanda pelbagai bahasa sebagai satu usaha memperkenalkan kawasan itu kepada masyarakat luar terutamanya kepada pelancong asing.

Papan tanda di Parlimen Silam yang didirikan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah ini boleh dicontohi pemimpin dan pihak berkuasa di Membakut.
Sebagai warga Membakut yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian antara kaum, hormat-menghormati, bersatu-padu, bekerjasama dan menggembleng tenaga serta buah fikiran membantu kerajaan dalam usaha membawa daerah ini ke arah kemajuan dan kegemilangan. Isu-isu yang boleh menimbulkan prasangka, kebencian, kemarahan dan perbalahan dalam masyarakat sepatutnya dielakkan.
Sebelum mengakhiri tulisan ini, marilah kita bersama-sama memahami dan menghayati sebahagian daripada mesej gagasan Satu Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Martabatkan Tulisan Jawi

Tulisan jawi tidak lagi dominan di hati umat Melayu di Malaysia namun ianya amat diperlukan untuk menunjukkan ciri-ciri Melayu yang asal. Walau ianya tidak akan menjadi tulisan kegunaan seharian, sekurang-kurangnya ianya perlu berada dekat di hati insan bernama melayu. Kelebihan mengunakan jawi boleh dijadikan alat kerahsiaan dalam memperkatakan strategi pemikiran melayu, mengubah dasar ekonomi dan menobatkan umat Melayu sebagai bangsa antara terbaik di dunia.Pada pendapat saya, Utusan Melayu dan tenaga kerjanya sudah terlalu ‘uzur’ untuk menjadi akhbar harian tetapi sebenarnya kematangan Utusan Melayu dan kakitangannya lebih diperlukan untuk memberikan pandangan setiap isu terkini yang melanda. Sebelum tragedi Januari 2003 dan kini 'kematian'nya di tahun 2006 kini, saya telah pun mengumpulkan idea-idea unik untuk memartabatkan semula Utusan Melayu semenjak awal tahun 2000 lagi. Berikut adalah strategi baru yang unik untuk mengembalikan semula Utusan Melayu yang bertulisan jawi;